Selasa, 15 September 2009

BAJU RAYA DAN ORANG BAHARU

Seperti yang tercatat dalam status facebook saya Jumaat lepas, saya ke Jalan TAR untuk membeli baju raya. Tepat jam 5.30 petang, kami memulakan kembara di Jalan TAR ini. Orangnya, Subhanallah... punyalah ramai. Tapi seperti yang saya catat dalam Facebook, fight...fight...fight. Maka, saya pun beradu tenaga, strategik bagaimana caranya untuk mendapatkan baju kurung yang sederhana kosnya tetapi cantik. Mata saya terpana pada sepasang baju kurung berkainkan batik Terengganu. Siapa yang tak tahu kualiti batik Terengganu ini. Ia adalah batik lukis, bukan di cop. Saya amat ingin memilikinya, lantas terus memandang harga... Alamak, RM185 (best buy)... Memang saya mampu tapi bukankah namanya membazir jika saya membelinya juga. Lalu, baju kurung dipandang sepi dan mendorong diri untuk mencari baju kurung yang lebih ekonomi.

Ayu mengajak saya membelikan jubah buat ibunya, saya ikutkan saja. Dalam hati, Tuhan saja yang tahu betapa peritnya meninggalkan baju batik Terengganu itu. Usai membeli, kami terus-terusan melihat baju-baju yang lain. Ada yang lelong RM100 dapat 3 pasang, ada yang sepasang RM50, namun saya tidak mengendahkannya kerana pasti kualiti kain kurang memuaskan. Saya sudah keletihan. Mood untuk berjalan lagi telah berkurangan. Lagipun jam telah menunjukkan pukul 6.40 petang. Saya mengajak ayu membeli juadah berbuka puasa. Ayu beli ketupat palas bersama rendang, saya pula 'cucuk-cucuk' (nugget dan fishball) dan nasi lemak ayam kampung (RM5.00, mahal betul).

Selepas berbuka, kami terus ke Masjid India untuk solat Maghrib. Usai solat, saya menunaikan zakat. Amil di kaunter zakat itu berseri-seri mengalu-alukan kedatangan saya. Alhamdulillah, tunai juga rukun Islam yang ke 4 ini. Saya akan simpan resitnya, memjadikannya kenangan membayar zakat pertama kali.

Kami sambung sesi membeli belah yang terhenti sebentar tadi. Ayu berhenti di sebuah kedai yang menjual baju Melayu untuk mambeli sepasang buat ayahnya. Saya, masih belum beli apa-apa. Tetapi kami telah ternampak kedai yang menjual baju kurung yang menarik semasa berjalan menuju ke Masjid tadi. Kami kembali ke kedai tersebut. Saya memilih baju kurung berwarna hijau kebiruan. Asal harga RM99. Saya tawar harga RM80 dengan alasan hanya ingin memakainya di Perak sahaja kerana ada banyak terjual lagi di sini. Risau kalau pakai di KL ada yang sama nanti. Pekedai itupun setuju sambil mengakui alasan yang saya berikan itu.

Kemudian saya ke kedai tudung, Ayu mengesyorkan sehelai tudung hijau yang berharga RM20. Tetapi dia menyuruh saya memilih tudung yang berharga RM30 pula dengan alasan hijaunya kurang kena pada baju kurung saya. Saya setuju dan membeli dengan harga RM25. Selesai membeli belah. Walaupun tidak dapat memiliki batik Terengganu, saya berpuas hati dengan belian saya kali ini. Jimat, cantik dan berbaloi.


Saya mendapat panggilan dari kakak saya semalam. "Ila, maksu (panggilan anak buah pada saya)
akan dapat anak buah keempat",kakak saya memberitahu dengan sisa ketawanya. Saya kaget. "Wow, bestnya. Tahniah kak", saya kegembiraan. Nampaknya kakak saya akan ada 4 orang anak tetapi saya, kahwin pun belum lagi. Saya berseloroh dengan diri saya sendiri. InsyaAllah, kalau ada jodoh kahwinlah saya dengan jejaka pilihan hati. Yang penting, kena sabar menunggu penerimaan lamaran dari saya. Kalau tidak boleh menunggu, apa boleh buat (Pesanan buat jejaka yang meminati saya).

Bila usia sudah semakin dewasa, perkara-perkara seperti ini sering bermain di fikiran.
Ada jodoh, kahwinlah saya. Biar saya di utara, dia di selatan. Andai dia takdir buat saya, saya tidak akan menolak.

Selamat beramal...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan