Selasa, 29 September 2009

RM 1 = BERNAS

Sebenarnya cerita raya saya memang banyak yang ingin saya terbitkan di dalam blog ini. Dari raya pertama hingga raya ke 7. Dari baju raya hingga ke duit raya. Dari lemang hingga ke laksa. Dari Bota hingga ke Pantai Remis. Dari bendul hingga ke Sang Pencinta. Namun, detik yang berlaku hari ini terlalu menerujakan saya hingga mengalahkan detik-detik di kala raya.

Dari jauh sudah terlihat seorang ibu tua yang buta duduk menghadap jalan raya nan sesak berhampiran eskelator Maybank. Jiwa saya tersentuh dan terus satu perasaan ehsan melintasi didalam hati saya. Badan saya terdorong untuk menghampiri wanita itu juga tangan terlalu mesra menghulurkan RM1 kepadanya dengan rela. Wanita tersebut menyambutnya tatkala terasa wang kertas itu menyentuh kekura tangannya.

Hati saya lapang selepas sedekah RM1 kepadanya. Memulakan kerja dengan tenang sambil melihat-lihat laman web kerajaan untuk mengetahui keputusan peperiksaan PTD walaupun saya tahu nasib tidak akan menyebelahi saya.

Jam 9.39 pagi, telefon menjerit minta dijawab. Panggilan dari syarikat Bernas. Saya ditawar bekerja di Bernas bagi jawatan Pelatih Pengurusan (Management Trainee). Alhamdulillah, kedua tapak tangan saya raupkan ke wajah. Saya menerima tawaran itu selepas meminta pendapat keluarga.

Begitulah balasan kebajikan yang hanya sedikit dilakukan namun dibalas dengan besar nisbahnya oleh Allah Ta'ala. Saya tidak akan berhenti membuat kebajikan. Anda juga jangan berhenti melakukannya. Lapangkan dada, mesrakan minda.

Pengalaman bekerja di Maybank tidak akan saya lupakan...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan