Jumaat, 2 Oktober 2009

IBU TUA

Seperti biasa, komuter Perlabuhan Klang sentiasa penuh pada jam 5 ke atas seperti komuter-komuter yang lain. Setibanya di KL Central, asakan demi asakan berlaku di antara penumpang demi mendapat tempat di dalam tren.

Mata saya terpana melihat seorang ibu tua yang turut berasak memasuki tren. Matanya melilau ke atas mencari pemegang yang tergantung. Seorang lelaki Indonesia menawar ibu tua ini bertukar tempat setelah melihat ibu tua itu seakan rimas berada di tengah-tengah orang ramai. Saya tidak dapat memberi ruang kepadanya memandangkan saya juga tersepit di tepi tingkap.

Setelah tren bergerak ibu tua itu mengucapkan terima kasih kepada lelaki Indonesia atas keprihatinannya. Kemudian terus menyeret lelaki tersebut untuk berbual-bual. Saya dan Ayu hanya dapat mendengar sedikit butiran perbualan mereka.

Menurut ibu tua ini, beliau selalu berjalan seorang diri memandangkan anak-anaknya duduk berjauhan. Seorang belajar di luar negara, seorang duduk di luar negara dan yang lain-lain tinggal jauh darinya dan semua telah berkeluarga.

Tiba-tiba saya dan Ayu terdengar sedu-sedan ibu tua itu seolah-olah melahirkan rasa sedih teramat sangat. Kami berpandangaan. Saya bertanya kepada Ayu kenapa ibu tua itu menangis. Rupa-rupanya, selepas menceritakan perihal anak-anaknya yang tidak balik menjenguknya pada Hari Raya, beliau terus menangis.

Begitulah hati seorang ibu. Menyimpan rindu terhadap anaknya. Ibu tua ini mempunyai ramai anak. Bagaimana pula dengan ibu saya yang hanya mempunyai 2 orang anak perempuan? Jika kami juga seperti anak-anak ibu tua ini, menggununglah dosa yang terpaksa kami tanggung.

Ya Allah, berkatilah hidup Umi dan Walidku...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan